Jijik Dengan Tindakan BN - Anwar Ibrahim

  • Apr 2, 2018
  • Views 3886

Image Description

Kenyataan Media

31 Mac 2018

Saya berasa amat jijik dengan tindakan BN yang meluluskan usul persempadanan semula di Dewan Rakyat dengan cukup tergesa-gesa tempoh hari. Ini adalah perkara yang amat serius yang sepatutnya diberikan masa secukupnya untuk dibahas dan dibincangkan. Tetapi usul tersebut telah diluluskan dalam masa 2 jam sahaja!

Ini bukanlah satu proses persempadanan semula yang betul yang mengikut lunas undang-undang, tetapi satu usaha persempadanan yang jelas melanggar semangat perlembagaan.

Ia adalah pengakuan bahawa BN akan kalah PRU14 jika sempadan sedia ada digunakan.

BN juga dengan tergopoh-gapah meluluskan RUU Anti-Berita Tidak Benar di parlimen. Ini adalah satu tindakan yang cukup desperado.

Sang Penguasa mahukan undang-undang ini untuk mengongkong dan menghalang orang ramai dari membincangkan skandal 1MDB dan lain-lain skandal rasuah dan kesalahan-kesalahan BN.

Dengan meluluskan RUU ini, BN dengan jelas menyerang golongan muda yang rata-rata bakal menjadi mangsa utama undang-undang zalim ini.

Berita palsu atau tidak benar sememangnya boleh ditangani dengan undang-undang sedia ada berkaitan isu fitnah.

Adakah kita hanya akan duduk diam bila pencuri penyamun yang merompak berbilion wang rakyat berkuasa mentakrifkan apa itu berita palsu?

Pakatan Harapan akan mewujudkan satu Suruhanjaya Pilihan Raya yang benar-benar bebas, dan memansuhkan undang-undang anti-berita tidak benar ini.

Saya gesa seluruh rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai mengundi Pakatan Harapan untuk menyahkan BN dari Putrajaya.

Anwar Ibrahim